Soalan-soalan Lazim Peperiksaan Luar Negeri dan Profesional (PLNP)

1.0 ACCA (Association of Chartered Certified Accountants)

   
 1.1 Apakah ACCA?
 

ACCA (The Association of Chartered Certified Accountants) merupakan badan profesional global yang melahirkan akauntan bertaraf profesional. Kelulusan ACCA diiktiraf seluruh dunia. Sila layari www.accaglobal.com/ untuk maklumat lanjut berkaitan ACCA.

 
1.2 Bilakah peperiksaan ACCA dikendalikan oleh LP? 
 

Peperiksaan ACCA dikendalikan pada bulan Mac, Jun, September dan Disember. Tarikh peperiksaan ditetapkan oleh pihak ACCA.

   
1.3 Di mana pusat peperiksaan ACCA di Malaysia?
 

Pusat peperiksaan ACCA di Malaysia terdapat di 13 buah negeri kecuali di negeri Perlis, WP Putrajaya dan WP Labuan.

   
1.4

Bagaimana untuk mendaftar bagi menduduki peperiksaan ACCA?

  Sila layari www.accaglobal.com/ untuk maklumat berkaitan pendaftaran peperiksaan.
   
1.5 Bagaimana pengurusan dan pengendalian peperiksaan ACCA?
  Lembaga Peperiksaan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengurus dan mengendalikan peperiksaan ACCA. Walau bagaimanapun, bahan peperiksaan serta kertas peperiksaan akan disediakan oleh pihak ACCA. Pihak ACCA juga bertanggungjawab untuk menguruskan skrip jawapan dan mengeluarkan keputusan peperiksaan kepada calon.
   
2.0 UoL (University Of London)
   
2.1 Apakah UoL?
  UoL (University  of  London)  merupakan  gabungan   beberapa  universiti   dan   institusi   penyelidikan di seluruh dunia. UoL menawarkan sistem pembelajaran jarak jauh dan kursus secara dalam talian bagi pelbagai program terpilih. Pelajar dari seluruh dunia boleh mengikuti program/kursus yang ditawarkan secara dalam talian di universiti atau institusi penyelidikan yang berkolaborasi dengan UoL. Maklumat lanjut boleh diperoleh di https://london.ac.uk/
   
2.2 Bilakah peperiksaan UoL dikendalikan oleh LP?​
  Peperiksaan UoL dikendalikan pada bulan Mac, Mei/Jun, September/Oktober dan Disember.
   
2.3 Di mana pusat peperiksaan UoL di Malaysia?
  Pusat peperiksaan UoL di Malaysia ditawarkan di 13 buah negeri kecuali di negeri Perlis, Kelantan dan WP Labuan.
   
2.4 Bilakah tarikh pendaftaran peperiksaan UoL?
 

Calon boleh mendapatkan maklumat berkaitan pendaftaran pusat peperiksaan UoL di portal rasmi Lembaga Peperiksaan (http://lp.moe.gov.my/) selepas tujuh hari tarikh pendaftaran peperiksaan sesi semasa diumumkan di portal rasmi University of London.

   
2.5 Apakah peranan LP dalam pengurusan dan pengendalian peperiksaan UoL?
  Lembaga Peperiksaan bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan pendaftaran pusat peperiksaan dan peperiksaan bagi calon UoL yang mendaftar dengan Lembaga Peperiksaan, Kementerian  Pendidikan Malaysia. Walau bagaimanapun, bahan peperiksaan serta kertas peperiksaan akan disediakan oleh pihak UoL. Pihak UoL juga bertanggungjawab untuk menguruskan skrip jawapan dan mengeluarkan keputusan peperiksaan kepada calon.
   
3.0 ABRSM (The Associated Board of Royal Schools of Music)
   
3.1 Apakah ABRSM?
  ABRSM (The Associated Board of Royal Schools of Music) merupakan badan pendidikan antarabangsa yang berpusat di United Kingdom dan merupakan antara badan terbesar dunia yang menawarkan peperiksaan muzik di 93 buah negara.
   
3.2 Bilakah peperiksaan ABRSM dikendalikan oleh LP?
 

Peperiksaan ABRSM dikendalikan seperti ketetapan berikut:

§   Teori A: Mac

§   Amali 1 & Diploma: Mac - April

§   Teori B: Ogos

§   Amali 2 & Diploma: Jun - Ogos

Sila layari laman web my.abrsm.org/en/home untuk maklumat lanjut.

   
3.3 Di mana pusat peperiksaan ABRSM di Malaysia? 
  Pusat peperiksaan ABRSM di Malaysia terdapat di 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan di Malaysia.
   
3.4 Bagaimana untuk mendaftar bagi menduduki peperiksaan Teori, Amali dan Diploma ABRSM?
 

Sila layari www.abrsm.org untuk maklumat berkaitan pendaftaran peperiksaan.

   
3.5 Apakah peranan LP dalam pengurusan dan pengendalian peperiksaan ABRSM?
  LP di  bawah  Kementerian  Pendidikan   Malaysia   bertanggungjawab   menguruskan   pendaftaran   dan pengendalian peperiksaan ABRSM. Walau bagaimanapun, bahan peperiksaan serta kertas peperiksaan akan disediakan oleh pihak ABRSM. Pihak ABRSM juga bertanggungjawab untuk menguruskan skrip jawapan dan mengeluarkan keputusan peperiksaan kepada calon.
   
3.6 Apakah yang dimaksudkan dengan Pemohon (Applicant) dan apakah syarat-syarat untuk menjadi Pemohon?
 

§   Pemohon (Applicant) merupakan individu yang melakukan pendaftaran peperiksaan dan bertindak sebagai penghubung utama (point of contact) bagi calon yang akan menduduki peperiksaan ABRSM. Pemohon  juga  bertanggungjawab   mendapatkan   maklumat   peperiksaan   daripada   ABRSM   dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada calon.

§   Pemohon boleh terdiri daripada guru/sekolah muzik, ibu bapa/penjaga atau calon sendiri dengan syarat berumur 18 tahun dan ke atas. Pemohon juga hendaklah mempunyai alamat surat- menyurat di Malaysia.

Sila layari laman web www.abrsm.org untuk maklumat lanjut.

   
4.0 DELF (Diplôme d’Études en Langue Française)
   
4.1 Apakah DELF Scolaire?
  DELF (Diplôme d’Études en Langue Française) Scolaire merupakan peperiksaan pencapaian bahasa Perancis yang diduduki oleh murid sekolah  bawah  18  tahun  dan  diiktiraf  oleh  Kementerian Pendidikan Perancis. Peperiksaan ini merangkumi format bertulis dan lisan.
   
4.2 Apakah tahap DELF Scolaire yang dikendalikan oleh LP?
  Tahap peperiksaan DELF Scolaire yang dikendalikan adalah level A1, A2, B1 dan B2.
   
4.3 Siapakah yang boleh menduduki peperiksaan DELF Scolaire?
 

Hanya murid yang mengikuti kelas bahasa Perancis di sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)yang menawarkan mata pelajaran  bahasa  Perancis  sahaja  dibenarkan  menduduki  peperiksaan  DELF Scolaire.

   
4.4 Apakah syarat kelayakan untuk menduduki peperiksaan DELF Scolaire?
  France Éducation International (FÉI) Paris, adalah badan pengendali peperiksaan DELF yang menetapkan syarat bahawa seorang calon perlu mengikuti kelas bahasa Perancis untuk jangka masa minimum bagi melayakkan diri untuk menduduki peperiksaan DELF Scolaire seperti yang berikut:
Tahap Syarat Minima
Level A1: 60 jam
Level A2: 160 jam
atau
100 jam bagi calon yang telah menduduki peperiksaan Level A1
Level B1: 310 jam
atau
150 jam bagi calon yang telah menduduki peperiksaan Level A2
Level B2: 490 jam
atau
180 jam bagi calon yang telah menduduki peperiksaan Level B1
   
4.5 Adakah calon perlu menduduki peperiksaan tahap A1 sebelum layak menduduki tahap A2 dan tahap seterusnya?
  Setiap tahap peperiksaan DELF Scolaire dikendalikan secara berasingan. Calon boleh menduduki sebarang tahap peperiksaan sekiranya syarat jangka masa minimum pembelajaraan di atas dipatuhi.
   
4.6 Bilakah peperiksaan DELF Scolaire dikendalikan oleh LP?
  Peperiksaan DELF Scolaire dikendalikan pada bulan Ogos atau September setiap tahun. Tarikh peperiksaan ditetapkan bersama-sama oleh Alliance Française de Kuala Lumpur (AFKL) dan LP.
   
4.7 Dimana pusat peperiksaan DELF Scolaire di Malaysia?
 

Pusat peperiksaan DELF Scolaire ditetapkan bersama-sama oleh LP, Kedutaan Perancis di Malaysia dan AFKL. Senarai pusat peperiksaan DELF Scolaire akan diumumkan kepada sekolah pada awal tahun setelah mendapat pengiktirafan daripada FÉI.

   
4.8 Bagaimana untuk mendaftar bagi menduduki peperiksaan DELF Scolaire?
  Pendaftaran bagi menduduki peperiksaan DELF Scolaire akan dilakukan oleh sekolah KPM yang menawarkan mata pelajaran bahasa Perancis. Panduan Pendaftaran Peperiksaan DELF Scolaire akan diedarkan kepada sekolah berkenaan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.
   
4.9 Bilakah pendaftaran peperiksaan DELF Scolaire dibuka?
  Pendaftaran peperiksaan DELF Scolaire akan dibuka pada bulan Februari atau Mac setiap tahun. Tarikh pendaftaran akan dimaklumkan oleh JPN kepada pihak sekolah.
   
4.10 Apakah peranan LP dalam pengurusan dan pengendalian peperiksaan DELF Scolaire?
  LP dan AFKL bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengurus dan mengendalikan peperiksaan DELF Scolaire, serta menyemak skrip jawapan peperiksaan calon dan mengeluarkan keputusan. FÉI bertanggungjawab menyediakan kertas peperiksaan pada setiap tahun. FÉI juga bertanggungjawab untuk mengiktiraf keputusan dan mengeluarkan sijil kepada calon yang lulus peperiksaan sahaja.
   
4.11 Bagaimana sijil peperiksaan DELF Scolaire diuruskan?
  AFKL akan mengedarkan sijil peperiksaan DELF Scolaire kepada JPN. Pihak JPN pula akan memanjangkan sijil peperiksaan tersebut kepada pihak sekolah untuk disampaikan kepada calon.
   

 Tarikh Kemas Kini : 3 Mei 2021

  • Hits: 2089